Monday, November 22, 2010

Tukar Cermin Kereta

Penulis baru sahaja menukar cermin hadapan kereta Myvi di Jalan Pahang. Harga boleh dikatakan berpatutan (RM360), berbanding dengan harga yang pernah diberi kepada penulis di salah satu bengkel di Segambut iaitu RM750.

Bengkel yang dimaksudkan di sini ialah "DSG Auto Glass Specialist". Dalam pembacaan penulis, sesetengah kerosakan pada cermin boleh diperbaiki namun dalam pemahaman penulis, kecacatan pada cermin hadapan kereta penulis adalah lebih mahal untuk diperbaiki kerana panjang keretakan lebih daripada 5 cm.

Untuk pengetahuan pembaca, penulis pernah ditahan dalam satu sekatan jalanraya oleh JPJ di KLIA. Mujur penulis cuma diberi amaran sahaja oleh pegawai JPJ. Menurut pegawai tersebut, sebenarnya penulis boleh diberi notis saman kerana keretakan pada cermin hadapan penulis lebih daripada 5 cm (beliau benar-benar mengukur panjang keretakan tersebut!). Mungkin kerana pegawai JPJ tersebut kasihan dengan penulis yang ketika itu dengan orang rumah dan bayi yang baru berumur setahun di sebelah.

Bagi penulis, harga RM360 untuk cermin hadapan termasuk dengan upah kerja adalah berpatutan. Jenis cermin ialah dua lapis (double layer) serta mempunyai perlindungan UV. Tempoh kerja yang dilakukan juga adalah pantas, iaitu cuma 20 minit untuk keseluruhan proses buka cermin sehinggalah habis pemasangan. Sempat juga mereka memberi pesan dalam tempoh 2 hari ini, jangan basuh kereta (tidak boleh kena sabun) dan tidak boleh buat windows tinting.

Sekiranya anda ada maklumat yang lain atau tempat-tempat yang juga mengenakan bayaran yang berpatutan, bolehlah berkongsi dengan pembaca-pembaca yang lain di ruangan komen.

DSG Auto Specialist
No. 27, Jln Sarikei Off Jalan Pahang, 53300 Kuala Lumpur

Hubungi: Ah Soon
Telefon: 019-3877118, 03-40217798

Lokasi: Berdekatan dengan Hospital Tawakal. Betul-betul bersebelahan dengan 7 Eleven.